Penerima Faedah Yayasan Peneraju Kini Menyumbang Kembali Kepada Pembangunan Sosio-Ekonomi Negara

Kuala Lumpur – Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) menerusi program-program terasnya merekodkan pencapaian membanggakan apabila berjaya melahirkan bakat tempatan berkualiti dan mampu berdaya saing hingga ke peringkat antarabangsa.

Antara program yang telah memberi manfaat kepada ribuan penerima faedah khususnya golongan belia ialah program Peneraju Tunas Potensi di bawah teras Peneraju Tunas.

Yayasan Peneraju telah memperkenalkan program Peneraju Tunas Potensi bertujuan menyediakan kemudahan biasiswa untuk pelajar lepasan SPM/STPM yang berpotensi untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Sejak diperkenalkan pada tahun 2012, seramai 1,234 pelajar telah menerima faedah daripada tajaan di bawah program ini.

Kejayaan bakat tempatan ini perlu dikongsi bersama rakyat Malaysia kerana ia boleh dijadikan testimoni kepada hasil pelaburan negara dalam melahirkan bakat tempatan berkualiti yang mampu menyumbang kembali kepada pembangunan sosio- ekonomi negara.

Banyak kisah-kisah kejayaan yang boleh diteladani daripada penerima faedah Peneraju Tunas Potensi yang terdiri daripada mereka yang mempunyai latar belakang yang mencabar disebabkan kekangan persekitaran, keadaan kewangan keluarga, dan ketiadaan akses kepada kemudahan pembelajaran untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Ain Najwa binti Arba’in
Ain Najwa binti Arba’in bersama Mohd Ariff Ithnin, Pemangku Ketua Pengawai Eksekutif Yayasan Peneraju
Kisah kejayaan pertama adalah Ain Najwa binti Arba’in yang merupakan seorang anak yatim yang dibesarkan oleh ibunya setelah pemergian arwah bapanya. Ibunya tekad bekerja untuk menyara keluarga tetapi mereka sering mengalami masalah kewangan untuk terus membiayai kos sara hidup. Untuk mengubah kehidupan keluarga, Ain merebut peluang yang ditawarkan oleh Yayasan Peneraju seterusnya menerima biasiswa untuk meneruskan pengajiannya dalam bidang Sains Komputer di Asia Pacific University (APU). Semangat dan keazaman yang ditunjukkan oleh Ain mendapat pengiktirafan apabila beliau dinobatkan sebagai pelajar cemerlang di Majlis Konvokesyen APU pada tahun 2019 dan menerima anugerah Consistent Academic Achievement Performer (Technology), anugerah Scholar

Distinction dan juga anugerah GRIT ketika majlis The Rising Star Award 2020 anjuran Metropolitan Corridor, sebuah organisasi yang mewakili Yayasan Peneraju dalam pengurusan program tersebut. Kini, Ain sedang membina kerjaya cemerlang di salah sebuah syarikat penerbangan terkemuka di Asia sebagai seorang Data Analyst. Bagi Ain, Yayasan Peneraju telah membantunya merealisasi aspirasinya dan beliau menanam azam untuk menyumbang kembali kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Natasha Stella Tibon
Kisah kejayaan kedua pula melibatkan Natasha Stella Tibon yang berasal dari Sandakan, Sabah. Sejak berusia 7 tahun, beliau mempunyai impian untuk menjadi jadi seorang saintis. Namun, keluarga Natasha tidak mampu menyokongnya dari segi kewangan untuk beliau melanjutkan pelajaran berkaitan bidang yang diminatinya. Tanpa berputus asa, Natasha mencari peluang untuk mendapatkan biasiswa bagi memenuhi cita-citanya. Hasilnya, beliau berjaya terpilih sebagai penerima biasiswa Peneraju Tunas Potensi pada tahun 2015 dan ditawarkan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pilihannya, Ijazah Pharmaceutical Chemistry di International Medical University (IMU). Salah satu pencapaian terbesarnya adalah tesis tahun akhir yang diterbitkan dalam jurnal terkemuka, dengan artikel bertajuk

“Current progress in antimalarial pharmacotherapy and multi-target drug discovery”. Hari ini, Natasha berkerja di makmal R&D di sebuah syarikat farmaseutikal antarabangsa sebagai seorang penganalisa R&D yang juga merupakan bidang yang beliau minati. Impian beliau kini adalah untuk menyumbang kembali apa yang telah beliau kecapi kepada masyarakat dan membimbing golongan belia yang berminat untuk menceburi bidang farmaseutikal.

Noorhazwani Mohd Zain

Kisah kejayaan ketiga melibatkan Noorhazwani Mohd Zain, anak ke-dua daripada lima adik-beradik yang menjadi kebanggaan keluarga apabila beliau merupakan anak pertama yang berjaya menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam bidang Chiropractic di International Medical University (IMU).

Bapanya bekerja sebagai buruh manakala ibunya pula adalah suri rumahtangga. Walaupun mempunyai latar belakang keluarga yang mencabar ianya tidak menghalang beliau untuk terus mengejar impiannya. Hazwani amat bersyukur kerana sepanjang 4 tahun pengajiannya, beliau mendapat tajaan sepenuhnya di bawah program Peneraju Tunas Potensi. Beliau memulakan kerjaya sebagai chiropractor di negeri kelahirannya Kelantan setelah menamatkan pengajian pada tahun 2018. Tidak lama selepas itu, Hazwani mendapat tawaran bekerja di sebuah klinik swasta di Seremban, Chiropractice Spine, Nerve, Joint.

Beliau berpendapat, dengan menerima tawaran tersebut dapat mengembangkan lagi pengetahuannya dan mengasah lagi kemahiran sedia ada untuk menjadi chiropractor yang berjaya. Beliau juga diberi peluang untuk bekerja bersama seorang chiropractor dari luar negara yang mempunyai banyak pengalaman dalam merawat pesakit yang memerlukan kepakaran atau sentuhan chiropractor.
Beliau yakin dengan peluang keemasan ini, beliau akan dapat kembaliberbakti di negeri kelahirannya suatu hari nanti.

Iskandar Zulkarnaen Che Mohd Nor

Kisah kejayaan keempat pula membuktikan bahawa kejayaan mampu dicapai dengan semangat dan ketabahan yang tinggi. Penerima faedah Peneraju Tunas Potensi (tahun 2013), Iskandar Zulkarnaen Che Mohd Nor, berasal dari Kelantan dan merupakan anak sulung daripada empat beradik. Beliau merupakan pemegang Ijazah Undang-Undang (Kepujian) dari UiTM. Semasa pengajian, beliau diuji dengan dugaan yang cukup mencabar apabila ayah dan ibunya meninggal dunia dan beliau berasa bertanggungjawab untuk memegang peranan sebagai ketua keluarga. Berkat ketabahan beliau serta berbekalkan sokongan berterusan dari Yayasan Peneraju, Iskandar akhirnya berjaya mencapai cita-
citanya untuk menjadi seorang peguam dan kini bertugas di syarikat guaman berprofil tinggi.

Berkat semangat dan ketabahan yang tinggi juga, adik perempuan Iskandar turut berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading dan bakal mengenggam Ijazah Sarjana Muda Sains Kimia dari Universiti Malaya.

Muhamad Arif Shahariah


Kisah kejayaan berikutnya milik Muhamad Arif Shahariah. Dilahirkan dalam keluarga besar bersama sembilan adik-beradik, kehidupan keluarganya cukup mencabar. Bapanya merupakan seorang pemandu lori yang telah bersara manakala ibunya menderita lumpuh separuh badan. Namun, semua kekurangan ini tidak mematahkan semangat Arif untuk menempa kejayaan dalam pelajaran. Dengan keputusan SPM yang cemerlang, Arif menerima tawaran biasiswa Peneraju Tunas Potensi dan berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains Perubatan di Management and Science University (MSU) pada tahun 2013. Dengan prestasi akademik yang konsisten dan membanggakan, Arif dinobatkan Anugerah Akademik Pelajar Terbaik ketika Majlis Konvokesyen MSU ke-23.



Berbekalkan minat yang mendalam terhadap bidang akademik, Arif terus melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana pada 2018 dalam bidang bio-perubatan dan pada Februari 2020, Arif telah ditawarkan biasiswa penuh dari Kementerian Sains dan Teknologi, Taiwan bagi meneruskan pengajian Ijazah Doktor Falsafah di Institute of Pharmachology di National Yang-Ming University. Dalam masa yang sama, Arif turut bekerja di Taipei Veteran General Hospital sebagai pembantu pegawai penyelidik sambil menjalankan pengajiannya.
*****

Melalui kisah kejayaan ini, Yayasan Peneraju komited untuk terus membantu bakat tempatan mendapatkan peluang pendidikan berkualiti. Buktinya, ribuan alumni program Peneraju Tunas Potensi telah berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi dan sedang membina kerjaya dan masa depan cerah di bidang masing-masing.

Mereka kini menjadi sebahagian kepada penggerak sosio- ekonomi negara dan bakal menjadi pewaris
kepimpinan negara pada masa depan.

Secara umumnya, Yayasan Peneraju ditubuhkan pada 2012 dengan matlamat untuk memupuk dan membangunkan bakat Bumiputera melalui pembiayaan pendidikan dan latihan di bawah program teras iaitu Program Peneraju Tunas, Peneraju Skil dan Peneraju Profesional. Setakat ini, Yayasan Peneraju telah merealisasi aspirasi lebih 30,000 penerima faedah melalui 261 program pembiayaannya dengan peruntukan sebanyak RM679.8 juta yang diterima sepanjang tempoh lapan tahun penubuhannya.


Kini, Yayasan Peneraju menumpukan kepada program-program untuk melahirkan bakat Bumiputera yang kompetitif dan bertaraf dunia khususnya dalam bidang ekonomi digital, kewangan dan perakaunan, penganalisisan data serta teknologi IR4.0.
Penerima Faedah Yayasan Peneraju Kini Menyumbang Kembali Kepada Pembangunan Sosio-Ekonomi Negara Reviewed by AyuArjuna BiGoshh on July 06, 2020 Rating: 5

No comments:

Sharing is caring...

All Rights Reserved by Enchanted Life Begins © 2019-2020
Powered By Blogger

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.