Projek57 Yang Berasaskan Perpaduan Berganding Bahu dengan Artis Terkemuka Yusof Majid untuk Mengumpul Dana Bagi Manfaat Komuniti Orang Asli

Di kala rakyat Malaysia menempuh harapan baru sementara negara beransur pulih dari pandemik, perusahaan sosial Projek57 terus mencipta nama menerusi pelbagai usaha memupuk semangat perpaduan dan keterangkuman dalam kalangan komuniti yang kurang berkemampuan dari segenap
lapisan masyarakat.


Diasaskan pada tahun 2015 dan berbekalkan semangat Merdeka yang dipelopori Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman, Projek57 tahun ini telah bekerjasama dengan artis terkemuka Yusof Majid untuk menghasilkan satu koleksi eksklusif yang terdiri daripada 18 lukisan yang berilhamkan tafsiran yang dikongsi bersama mengenai makna kemerdekaan bagi rakyat negara ini.

Lima puluh peratus hasil jualan lukisan Yusof akan disalurkan kepada Tabung Pendidikan Projek57 yang ditubuhkan untuk menampung sara hidup golongan yang memerlukan. Dana ini akan digunakan untuk mendirikan sebuah tadika untuk kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun di Gua Musang, Kelantan, yang dijangka akan dibuka kepada sekumpulan 40 orang kanak-kanak prasekolah Orang Asli pada akhir tahun ini.
Koleksi amal berjudul “The Merdeka Drawings” ini akan dipamerkan dari 10 hingga 18 September 2022 di Nadine Fine Art, Petaling Jaya. Artis kontemporari Yusof Majid telah mempamerkan karya seninya selama lebih daripada tiga dekad. Yusof berkata, “Saya melihat koleksi ini sebagai sumbangan say abukan sahaja dalam menyebarkan mesej harapan yang kekal berterusan tetapi juga untuk menyelami lagi erti Merdeka. Berganding bahu dengan Projek57 merupakan satu penghormatan bagi saya, dan saya berbesar hati kerana hasil kerja saya dapat memberi impak yang positif dalam menambah baik kehidupan warga Malaysia yang kurang bernasib baik.”


Sejak penubuhannya, Projek57 telah mengumpul lebih daripada RM450,000 untuk golongan kurang berkemampuan daripada pelbagai latar belakang sosial. Pengasas bersama Syed Sadiq Albar dan Collin Swee percaya bahawa perusahaan sosial tersebut perlu komited dalam merealisasikan wawasan Tunku untuk mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu dan aman damai di mana seluruh rakyat dapat hidup bersama secara makmur tanpa mengira latar belakang, bangsa atau budaya.


Syed Sadiq berkata, “Di sebalik cabaran Covid-19, rakyat Malaysia yang berkongsi visi harapan kita kekal menjadi penyokong setia usaha-usaha Projek57 untuk membawa perubahan. Dengan sumbangan ikhlas Yusof Majid kepada dana pendidikan kita tahun ini, kita dapat bersama-sama menitikberatkan kepentingan pendidikan dan memperkasakan komuniti Orang Asli yang sering mengharungi pelbagai cabaran dalam hal ini.”

Salah satu daripada karya “The Merdeka Drawings” Yusof akan digunakan sebagai reka bentuk tersuai untuk kemeja-T Projek57 dan barangan jualan lain bagi membolehkan orang ramai memiliki produk asli Yusof Majid yang dihasilkan dengan niat mulia. Segala keuntungan hasil jualan akan disalurkan kepada program-program lain untuk membantu belia Orang Asli yang kurang berkemampuan.

Tambah Swee, “Dengan tema Hari Merdeka dan Hari Malaysia tahun ini yang menekankan kepentingan untuk kita berdiri teguh bersama, Projek57 bersyukur kerana dapat meneruskan usaha-usaha menaiktaraf kualiti hidup setiap rakyat Malaysia. Setiap sumbangan pasti akan membawa perubahan untuk menjamin masa depan yang lebih baik untuk semua.”


Lukisan Yusof yang berkisarkan gaya hidup Malaysia telah dipamerkan secara meluas di galeri dalam dan luar negara. Beliau sering mendapat inspirasi daripada budaya dan landskap kita yang pelbagai.
Di samping kerjasama kesenian ini, Projek57 turut menyertai Merdekaverse, satu acara Hari Kebangsaan Metaverse yang unik dan berpaksikan teknologi, dari 25 Ogos hingga 16 September 2022. 

Acara yang dianjurkan oleh Xanadu Asia ini merupakan platform maya imersif pertama di negara ini yang menggabungkan pelbagai teknologi untuk mencipta satu ‘ruangan digital tampak hidup’.
Untuk maklumat lanjut, sila layari  https://www.projek57.com/ atau lawati laman Facebook Projek57 di https://www.facebook.com/projek57 , laman Twitter di https://twitter.com/projek_57 atau laman Instagram di https://www.instagram.com/projek57/ .

Projek57 Yang Berasaskan Perpaduan Berganding Bahu dengan Artis Terkemuka Yusof Majid untuk Mengumpul Dana Bagi Manfaat Komuniti Orang Asli Reviewed by AyuArjuna BiGoshh on August 30, 2022 Rating: 5

No comments:

Sharing is caring...

All Rights Reserved by Enchanted Life Begins © 2019-2020
Powered By Blogger

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.